Saturday, February 28, 2009

Middleearth di Utusan Malaysia

MiddleEarth ke Sungai Mangking

"Seperti siri-siri jelajah mereka sebelum ini yang setiap satunya diberikan nama mengikut destinasi (Run to the Hill, Monsoon Trail dan Slippery When Wet) pengembaraan eko-pelancongan kali ini menjanjikan cabaran tersendiri."


CABARAN menyeberangi titi seperti ini memerlukan kerjasama penuh daripada setia ahli pasukan.

MEREDAH laluan yang sudah 15 tahun ditinggalkan bukan sesuatu yang mudah bagi penggemar aktiviti pacuan empat roda (4X4) apatah lagi jika bergerak dalam satu kumpulan yang besar.



Pengendali pelancongan lasak, Middle Earth baru-baru ini meneruskan ekspedisi membawa pelancong dan media ke ceruk hutan Jerantut, Pahang.

Seperti siri-siri jelajah mereka sebelum ini yang setiap satunya diberikan nama mengikut destinasi (Run to the Hill, Monsoon Trail dan Slippery When Wet) pengembaraan eko-pelancongan kali ini menjanjikan cabaran tersendiri.

Dari Middle Earth Motel & Cafe di Jerantut, perjalanan 42 peserta dengan 11 kenderaan menuju ke hulu sungai Mangking sejauh kira-kira 50 kilometer (off-road) memakan masa tiga jam.

Meskipun sebelum itu beberapa kenderaan sudah masuk melakukan tinjauan laluan, cabaran yang dilalui tetap sukar seolah-olah 'membuka jalan baru.'

Pengurus Middle Earth, Marodzuan Abdul Ghani berkata, laluan hardcore itu hanya boleh dilalui dengan iringan dan nasihat pemandu berpengalaman.

''Sejak operasi pembalakan di kawasan itu berakhir, tidak ada kenderaan yang masuk ke kawasan ini. Jalan lama sudah tertutup menjadi denai-denai kecil yang hanya dilalui oleh orang asli dan pemburu," ujarnya.

Pengalaman melihat ahli pasukan membina 'jambatan segera' dan mengawal kenderaan ketika menyeberangi dua anak sungai menjadi pengalaman berharga kepada peserta.

Laluan menyeberangi dua sungai kecil berjaya ditempuhi selepas mereka berhempas-pulas dengan mesin gergaji, rantai besi dan tali untuk menyiapkan titian.

Laluan berbatu turut menyebabkan dua buah kenderaan pancit. Proses menukar tayar ketika hari hujan dan lecak kelihatan begitu rumit. Di sinilah semangat bekerjasama disuntik kepada peserta.

Namun, perjalanan menyajikan pemandangan indah. Dari kejauhan, terpampang puncak gunung Dulang yang merupakan destinasi asal minggu itu tetapi terpaksa dibatalkan kerana laluannya rosak teruk.

Perjalanan berakhir di pinggir sungai Mangking di mana kumpulan berhenti untuk mendirikan khemah. Kepenatan hilang apabila menu hidangan malam disenaraikan.

Marodzuan yang merupakan bekas chef berkata, menu yang biasa disediakan adalah ikan patin masak tempoyak, burung puyuh, puding dan kentang goreng.

''Tetapi awas, hidangan paling istimewa kita adalah kepak ayam panggang yang boleh membuatkan anda ketagih," ujarnya tersenyum.

Kumpulan menyusuri pinggir sungai kira-kira 30 minti sebelum tiba di air terjun yang merupakan tarikan pengembaraan ke sungai Mangking.

Kesempatan digunakan untuk menyejukkan badan di bawah 'air terjun tanpa nama' itu. Di permukaan kolam pula terpancar pelangi kecil sewaktu pancaran matahari tegak di atas kepala.

Ramai juga yang mengisi semula botol-botol minuman dengan air dan tidak kurang juga yang meneguk terus dari sungai.

Selama dua malam, nyamuk, bunyi unggas, taburan bintang di langit dan kesegaran alam menjadi peneman percutian peserta.

Kenderaan terakhir tiba di Middle Earth Motel & Cafe pada pukul 2 pagi dan salah seorang anggota (Angah) patah tulang betis dalam satu kemalangan kecil ketika membantu kenderaan melepasi halangan.

Maklumat lanjut mengenai pakej boleh diperolehi di talian 03-6188 9990 atau menghubungi Marodzuan di talian 012-9819145.

Tarikan di Mat Daling

"SELAIN pertukangan perahu, kunjungan Mega ke Kampung Mat Daling yang diuruskan oleh pengendali pelancongan pacuan empat roda (4X4) Middle Earth, baru-baru ini turut menyingkap kehidupan tradisional masyarakat Melayu di pedalaman". SETERUSNYA...


Khazanah Ulu Salan menyimpan pelbagai misteri

AHLI kumpulan Middle Earth menghabiskan masa di air terjun Lata Telur.

PAHANG diakui mempunyai banyak produk pelancongan yang sentiasa menjadi tumpuan ramai termasuk dari pelancong asing. SETERUSNYA...

No comments:

Post a Comment